Rabu, 31 Mei 2017

Cara mendidik anak gaya Nabi.

Mesti parents singgah dekat post ni sebab nak cuba teknik Nabi Muhammad dalam mendidik anak-anak kan. Baca sampai habis dan aplikasi terus lepas baca. Saya beri tips secara santai dan mudah. Tak perlu nak beli buku parenting buat masa ni. Ikut je 4 tips yang saya berikan dulu dan jadikan sebagai tabiat walaupun rasa macam buang tabiat je sebab sebelum ni garang belaka. Haha.

Gaya Nabi ni sebenarnya dah lama, cuma teknik untuk menggunakan gaya Nabi baru sahaja dikaji dan digunapakai. Dan SubhanALLAH. Hasilnya sangat memberansangkan. Perkembangan emosi anak sangat terjaga. Nabi Muhammad SAW sendiri tak pernah marah siapa-siapa terutamanya anak kecil. Nabi lebih suka bercakap benda-benda baik dan positif. Nabi juga lebih suka menunjukkan cara untuk melakukan sesuatu berbanding menyuruh dan mengarah.


Saya praktikkan gaya Nabi untuk didik anak murid tuisyen saya. Anak murid saya ni kebanyakkannya mempunyai estim diri yang rendah, tidak yakin dengan diri sendiri dan malu untuk siapkan tugasan yang saya berikan.


Teknik Nabi mendidik anak sangat mudah dan tak stress. Budak-budak enjoy, kita pun enjoy. Cuma nak mulakan gaya Nabi ni susah sebab kita dah biasa marah-marah orang lain. Kita yang gagal kawal emosi sendiri. Kita yang nak anak ikut acuan kita, ideal kita, dan harapan kita.


Macam mana tu? Tak faham? Saya bagi analogi di bawah.


Situasi: Anak bising bermain dan menyanyi kuat-kuat. Si ibu marah sebab anak tak mau duduk diam-diam dan main diam-diam.


Nampak tak? Fitrah anak tu memang la main dan buat bising. Kalau nak yang diam, beli je anak patung, tak payah ada anak. Ibu yang EMOSI nak anak diam sampai anak-anak kena marah, kena rotan, kena cubit. Sedangkan buat bising dan menyanyi tak berdosa pun. Anak tak buat kesilapan sampai mendatangkan dosa.


Sama dengan pelajar. Tak buat homework tak berdosa, ada yang tak pandai nak buat jadi dia pun tak buat, ada yang memang malas nak buat sebab bila buat pun ke KRITIK apabila salah.


Teknik Mendidik Gaya Nabi ni simple. Mudah. Banyakkan MENDORONG anak buat perkara yang betul, dan tidak KRITIK benda yang salah.


Saya kongsikan 4 teknik je. Jika ikut betul-betul. Akan nampak hasil dengan izin Allah. Perlu diingatkan, tips-tips ini perlu diamalkan secara berterusan. Bukan sekali je dengan harapan anak faham dan ikut sampai bila-bila. Anggap je anak tu ada memori jangka pendek. Esok kena cakap benda yang sama juga. Berulang-ulang kali.


Okey. Tips Pertama, jangan KRITIK anak, sebaliknya TUNJUK BENDA BETUL.


Bila ibu bagi tugasan kepada anak, jangan kritik apa kesilapan yang dia buat sepanjang masa anak buat tugasan tu. Biarkan anak siapkan tugasan dia sampai siap walaupun TAK BETUL.


"Siti, pandainya Siti masak TAPI masin sikit."


Ni puji campur kritik. Dari anak nak happy terus rasa kecewa. Raikan anak walaupun dia buat tak sempurna.


Lepas anak siap, TUNJUKKAN cara buat tugasan yang betul, sebut satu per satu langkah-langkah yang perlu dibuat. Minta anak sebutkan semula dan minta anak buat lagi sekali.


Contoh kerja simple macam cuci pinggan, sapu rumah, lipat baju. Kerja-kerja yang lebih rumit memerlukan kesabaran yang lebih tinggi. Tengok anak buat sambil ketap bibir. Diam walaupun geram. Biar anak buat sampai siap. Lepas siap baru tunjuk benda betul. Ingat, jangan kritik apa pun. Jangan sindir. Jangan perli.


Tips ni sangat sesuai untuk anak lelaki. Otak lelaki tak boleh switch setengah jalan, mereka kena siapkan tugasan sebelum boleh ditegur. Kalau tak memang 'jam' fikiran dia.

Anak perempuan tak apa. Perempuan boleh fikir banyak benda dalam satu masa, jadi nak hentikan perbuatan anak separuh jalan pun tak mengapa, terus tunjuk perbuatan betul. 


Itupun jika anak ada keupayaan untuk faham. Jika nampak jenis baby-baby lagi tapi berusaha nak tolong juga, layankan je la. Tunjuk juga benda betul walaupun anak balas gaya baby. Masa ni nak didik anak bantu buat kerja rumah. Biar terbiasa tolong.


Tips kedua, TERANGKAN kesalahan


Skrip bercakap macam ni:


Situasi: Basuh pinggan


Ahmad tak basuh sabun bersih-bersih, masih ada sisa buih sabun di pinggan.


Dialog Ibu: Ahmad, pinggan masih bersabun, bilas pingan sampai BERSIH dari buih sabun. Baru kita boleh makan guna pinggan BERSIH ni.


Situasi: Anak tak susun kasut.


Dialog Ibu: Siti, susun kasut KEMAS-KEMAS. Baru senang nak guna kasut yang dah tersusun KEMAS ni.


Pendek kata, Ibu hanya tunjuk benda yang BETUL sahaja. Tak perlu terpekik marah-marah dan mengungkit benda yang salah. Lepas anak berjaya buat tugasannya dengan betul dan baik (belum capai tahap sempurna, budak-budak masih kecil), terus puji anak.


Tips ketiga, cara marah anak.


Saya tak kat tak boleh marah anak, cuma marah cara betul. Jangan sesekali ungkapkan kata-kata yang mengguriskan hati anak tercinta.


Budak-budak tak akan lupa kata-kata yang menyentap hati mereka. Perkataan seperti bodoh, tak pandai, pemalas, lembab, dan lain-lain akan mengubah imej diri anak, mungkin terbawa-bawa sehingga dewasa.


Anak yang kerap dipanggil bodoh dan malas mungkin tidak mahu belajar atau buat apa-apa aktiviti baru disebabkan label yang Ibu dah letak pada anak.


Cara marah yang betul adalah menunjukkan memek muka yang marah, tapi mulut diam. Tak kata apa-apa. Tunggu sampai anak perasan muka Ibu berubah dan anak hentikan perbuatan dia.


Bila anak dah berhenti, terus tunjukkan memek muka tersenyum, ceria dan positif. Ini REWARD bagi anak. Kemudian PUJI anak dan terangkan kesalahan anak.


Tips keempat. PUJI anak.


Anak amat mengharapkan pujian daripada ibu bapa cuma cara pujian kena betul.


Bila anak siap sapu rumah, puji macam ni.


"Terima kasih Siti, bila Siti sapu rumah, rumah jadi bersih. Ibu SUKA. Abah pun SUKA."


Ini ganjaran sosial. Anak suka dengar pujian dari ibu bapa sendiri, anak terdorong untuk berkelakuan baik pada masa depan. Atau doakan anak kuat-kuat, biar anak dengar.


"Ya Allah, terima kasih kerana bantu Siti sapu rumah, masukkanlah Siti dalam syurga kerana akhlak dan sikap membantu Siti yang baik"


Okay, ini tips yang ringkas saja. Saya harap gaya parenting ini akan bantu sesiapa sahaja yang baca post ini.


Semoga Allah mengubah hati pembaca untuk menggunakan gaya Nabi mendidik anak secara tetap dan anak hasil didikan gaya Nabi menjadi anak yang baik, soleh dan anak yang akan bawa ibu bapanya ke syurga.


Aamin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa pendapat anda tentang post saya kali ini? Tinggalkan komen anda dibawah.